Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Wednesday, 29 June 2011

Forum 1: Jentik Minda

Anda dikehendaki membuat pembacaan/pencarian maklumat daripada sekurang-kurangnya 3 bahan rujukan

a. Berdasarkan kefahaman anda terangkan konsep "alam belajar ".
b. Huraikan elemen-elemen yang mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
c. Apakah yang anda faham dengan konsep "pengalaman langsung". Jelaskan perkaitannya dengan pengalaman belajar kanak-kanak

Thursday, 16 June 2011

Amalan Tindakan Reflektif Dalam Pengajaran

Pada pendapat anda mengapakah proses pengajaran dan pembelajaran dalam sesebuah bilik darjah itu berjalan lancar tanpa gangguan disiplin? Para pelajar sangat berminat dan khusyuk mengikuti pengajaran guru dan guru pula begitu komited dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu yang diajar. Bagaimanakah guru tersebut dapat mengemudi kelasnya dengan begitu berkesan?  

Bukan mudah bagi seseorang guru untuk mempastikan pengajarannya menarik dan berjalan lancar.Apakah petuannya? Semuanya bermula bila seseorang guru itu mengamalkan sikap sedar/peka terhadap apa yang berlaku semasa proses pengajarannya di dalam bilik darjah. Seorang guru yang sedar/peka merupakan seorang yang  sensitif terhadap apa yang berlaku, sentiasa menyoal diri dan akan mengambil tindakan segera untuk membaiki kelemahan sekiranya hasil yang dingini tidak sama dengan apa yang diharap atau dirancangkan. Dengan kata lain guru tersebut mengamalkan tindakan reflektif  iaitu satu bentuk inkuri refleksi kendiri terhadap amalan yang dilakukan, di mana guru menjadi lebih sedar terhadap amalan mereka sendiri dan menjadi lebih kritis terhadap amalan tersebut dan bersedia untuk membuat perubahan. 

Bila guru responsif terhadap perlakuan pelajar, ini bermakna guru mengambil berat terhadap pelajar. Keinginan untuk dihargai dan diberi perhatian merupakan fitrah semulajadi manusia. Mengikut Nel Noddings (1992) " keinginan untuk mendapat perhatian merupakan ciri-ciri umum manusia".  

 Sementara itu, mengikut Abraham Maslow  proses pembelajaran akan berlaku dengan berkesan sekiranya setiap individu berjaya memenuhi keperluan-keperluan dalam Hairaki Keperluan Manusia . Sekiranya keperluan kepada makanan, pakaian, tempat perlindungan dan kasih sayang dipenuhi maka individu itu akan bermotivasi untuk mencapai keperluan yang lebih tinggi iaitu keperluan penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Sekiranya satu keperluan dalam hairaki tidak dapat dipenuhi maka individu tersebut akan menghadapi masalah kekurangan dan akan menganggu proses pembelajarannya.

Apa yang berlaku pada setiap awal tahun para pelajar sudah pasti mengharapkan guru yang akan mengajar mereka ialah seorang yang sentiasa memberi dorongan ke arah kecemerlangan, sentiasa mengambil berat dan sedia mendengar sebarang masalah yang dihadapi, sentiasa memberi perhatian dan menghargai kebolehan mereka. Pelajar yang mendapat perhatian dan bimbingan daripada guru akan merasa dirinya dihargai dan kesannya pelajar merasa selesa dan berminat untuk mengikuti pengajaran guru.

Oleh itu, guru yang dapat mempamerkan sikap keprihatinan yang tinggi dan berkeupayaan untuk memberi perhatian kepada lebih daripada satu perkara pada satu masa merupakan pengurus bilik darjah yang berkesan. Guru yang prihatin tahu apa yang berlaku dalam bilik darjahnya pada setiap masa. Mereka berkeupayaan untuk melaksanakan pengajaran dan pada masa yang sama memantau disiplin para pelajar. Dengan kata lain, mereka sanggup dan berupaya mengubahsuai pengajaran yang sedang berlaku sekiranya mereka mendapati para pelajar menunjukkan sikap bosan atau kurang selesa.  Dan sekiranya guru mendapati ada dalam kalangan pelajar melakukan masalah disiplin ketika beliau sedang mengajar, guru akan bertindak segara membetulkan tingkah laku tersebut. Perhatian segara diberikan kepada tingkah laku pelajar ini akan menyebabkan pelajar merasa diri mereka diberi perhatian. Kadang-kadang para pelajar sengaja melakukan masalah disiplin semasa guru sedang mengajar hanya untuk menarik perhatian guru.  Mereka dahagakan kasih sayang seperti yang dinyatakan dalam Teori Keperluan Maslow di atas.

Sikap guru yang ambil tahu, menggunakan "eye-contact", ekspresi muka, jarak guru-pelajar, gerak isyarat dan tindakan guru akan menghasilkan satu suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif. Oleh itu, amalan tindakan reflektif guru dalam pengajaran akan mewujudkan satu pengurusan bilik darjah yang terancang dan terkawal yang sudah pasti membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan berkesan.

Sunday, 5 June 2011

Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan Menjana Kecermelangan Pelajar

Assalamualaimkum,wbt.  kepada para pembaca yang budiman yang dahagakan ilmu. Syukur kehadrat Allah swt kerana memberi ilham kepada saya untuk mencoretkan sedikit ilmuNya untuk dikongsi bersama terutama buat para pendidik yang baharu menceburi dunia pendidikan.

Pada ruangan ini saya ingin mengajak para pembaca terutama para pendidik guru, para pelajar dan semua yang terlibat dengan dunia pendidikan untuk berkongsi ide, pengalaman  dan pandangan tentang "Bagaimana mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selamat, sihat dan menyeronokan" berdasarkan pengalaman saya selama 22 tahun dalam dunia pendididikan.

Satu persoalan yang saya hadapi setiap kali memasuki kelas ialah bagaimanakah saya dapat menarik tumpuan dan perhatian para pelajar kepada pengajaran saya. Pengajaran saya akan terganggu sekiranya ada dalam kalangan para pelajar yang tidak memberi fokus terhadap pengajaran saya. Misalnya bercakap-cakap, membelek nota atau buku, memerhati ke arah lain, mengelamun dan lain-lain tingkah laku  disruptif.  



Apakah yang dimaksudkan dengan pembelajaran? Pembelajaran ialah satu proses pemerolehan maklumat  dan pengetahuan, penguasan kemahiran dan sikap serta pembentukan nilai dan kepercayaan. Anita E. Wolkfolk, 1995 mentakrifkan pembelajaran sebagai satu proses pengalaman yang menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan  tingkah laku yang kekal.Proses pembelajaran berlaku semenjak lahir sehingga akhir hayat. Pembelajaran membawa perubahan ke atas diri seseorang. Walau bagaimanapun perubahan tingkah laku  yang disebabkan oleh faktor kematangan seperti berjalan, makan, sakit tidak dianggap sebagai pembelajaran.

Proses pembelajaran akan berlaku dengan lebih cepat dan berkesan sekiranya pembelajaran berlaku dalam persekitaran yang selamat. Selamat di sini bukan sahaja merujuk kepada keadaan fizikal dan peralatan di dalam bilik darjah berada dalam keadaan elok dan baik tetapi juga suasana emosi yang selamat. Pembelajaran berlaku dengan berkesan sekiranya para pelajar merasa diri mereka diterima oleh organisasi, terjamin dan tiada ugutan atau  ancaman daripada orang-orang dipersekitarannya.

Persekitaran pembelajaran yang sihat pula merujuk kepada hubungan antara pelajar dan guru  yang mesra dan saling hormat menghormati. Persekitaran pembelajaran yang sihat akan mempengaruhi tingkahlaku orang di dalamnya. Oleh itu guru memainkan peranan yang penting kerana guru merupakan entiti sosial yang penting di dalam menentukan suasana pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru yang bersifat autokratik  lebih mendominasi suasana pembelajaran. Guru akan bertindak sebagai perancangan utama proses pembelajaran dan para pelajar hanya dikehendaki mengikut segala perancangan yang dibuat oleh guru. Pembelajaran dikawal oleh guru dan pelajar agak pasif. Sebaliknya guru yang bersifat permissive (laissez-faire) kurang menguasai suasana P&P. Mereka lebih banyak membiarkan para pelajar menentukan corak pembelajaran dan kurang kawalan kelas. Pelajar tidak dinyatakan dengan jelas tentang matlamat pembelajaran dan tiada peraturan/garis panduan yang boleh diikuti. Sekiranya adapun kurang jelas dan tidak dilaksnanakan secara konsisten.  Sebaliknya suasana pembelajaran akan lebih harmonis sekiranya guru bersifat autoritarian/demokratik. Matlamat pembelajaran dinyatakan dengan jelas dan para pelajar mengikut peraturan dan garis panduan yang jelas yang ditetapkan oleh guru atau dibincang bersama dengan para pelajar.

Persekitaran yang sihat dan selamat ini akan menyumbang kepada pembelajaran yang menyeronokkan. Komunikasi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar berlaku secara bijaksana dan berhikmah. Jalinan hubungan mesra wujud dalam kalangan pelajar-pelajar. Emosi stabil yang dipamerkan oleh guru dan pelajar akan menjana zon pembelajaran yang seronok dan dengan ini pembejalaran akan lebih berkualiti.  

Bagaimanakah mewujudkan satu suasana persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan menyeronokan?

Persoalan ini merupakan satu masalah besar yang perlu dihadapi oleh semua para pendidik apatah lagi bagi guru- guru permulaan yang baharu memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik. Guru yang berjaya menarik perhatian pelajar terhadap proses pembelajarannya ialah guru yang peka terhadap apa yang berlaku dalam persekitaran pembelajaran. Guru yang peka adalah guru yang mempunyai pemikiran reflektif dalam tindakannya (reflective action in teaching). Setiap gerak geri pelajar-pelajar memberi kefahaman kepadanya untuk melakukan perubahan terhadap proses P&P. Misalnya, tindakan beberapa orang pelajar berbisik-bisik menunjukkan pelajar tidak memberi tumpuan terhadap proses P&P. Guru yang reflektif tidak akan meneruskan pengajarannya sebaliknya akan memfokus kepada pelajar-pelajar yang sedang berbisik tadi untuk mendapatkan respon segera kemudian baharulah meneruskan pengajaran.

Ned Noddings (1992) mendapati bahawa " keinginan untuk mendapat perhatian adalah keperluan universal manusia". Tidak ada seorang individu yang ingin dirinya dipinggirkan sebaliknya setiap individu ingin kewujudannya diterima dan mendapat perhatian. Justeru itu guru yang kreatif, penyayang dan reflektif menyedari bahawa para pelajar adalah insan yang memerlukan perhatian daripada guru. Mereka akan melakukan tindakan-tindakan untuk menarik perhatian guru. Oleh itu guru hendaklah respon terhadap tingkah laku disruptif ini terlebih dahalu sebelum melaksanakan proses P&P.

Oleh itu, langkah pertama untuk menarik perhatian murid ialah guru perlu menunjukkan sikap "ambil peduli", perihatin terhadap setiap gerak geri pelajar di dalam maupun di luar bilik darjah. E. Ruby, et al (2002) menamakan sikap "ambil peduli" ini sebagai "withitness". Menurut Kounin  pengurus bilik darjah yang baik  ialah terdiri daripada mereka yang peka dan tahu apa yang berlaku semasa pengajarannya.Mereka sentiasa prihatin terhadap tingkahlaku pelajar-pelajarnya. mereka tahu pelajar mana yang tidak melakukan tugasan. Mereka berkeupayaan  menyampaikan arahan dan pada masa yang sama sentiasa mengawasi tingkah laku pelajar-pelajarnya. Dengan kata lain, mereka berupaya mengambil tindakan segara mengubahsuai proses pengajarannya sekiranya beliau mendapati pelajar-pelajarnya bosan atau menunjukkan sikap kurang berminat terhadap pengajarannya. Dan sekiranya terdapat gangguan dalam kalangan pelajar-pelajarnya, dia akan memberi teguran segara dengan mendapatkan pelajar atau merenung pelajar sambil berkata "saya nampak apa yang kamu sedang lakukan. Tolong beri perhatian kepada pengajaran saya".

Sikap "ambil peduli" ini digambarkan dengan lebih jelas melalui sikap penerimaan guru dan buka dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kasar atau peraturan-peraturan yang keras. "Eye-contact", ekspresi muka, gerak geri guru dan tindakan guru menghentikan sesuatu aktiviti menggambarkan sikap withitness guru terhadap pelajar-pelajar. Guru yang menunjukkan sikap withitness ini dapat meneruskan pengajaran dan pada masa yang sama sentiasa memberi fokus kepada  pelajar-pelajar yang bertindak menganggu proses pembelajaran. 


Langkah ke dua ialah melaksanakan prosedur-prosedur dalam pengurusan tingkah laku dan bilik darjah.  Bagi saya disiplin pelajar yang terkawal adalah faktor penting bagi menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. 

a.     Langkah pertama yang saya ambil ialah mewujudkan peraturan-peraturan bilik      
       darjah.   Peraturan-peraturan ini boleh dinyatakan pada permulaan perjumpaan dengan 
       pelajar dan dikuatkuasakan pada seawal minggu pertama persekolahan dan perlu 
       konsisten. Bagi saya adalah lebih baik pelajar difahamkan terlebih dahulu dengan 
       peraturan-peraturan bilik darjah dan bertindak mengikut arahan yang ditetapkan oleh 
       guru.Apabila pelajar berada dalam keadaan terkawal baharulah guru memfokus kepada 
       pengajaran isi pelajaran.


Terdapat tiga cara bagaimana guru boleh mengadakan peraturan-peraturan disiplin ini iaitu      (i) guru menyatakan peraturan-peraturan yang dikehendaki olehnya dengan jelas kepada para pelajar sama ada secara lisan dan boleh ditulis dan ditampal pada papan kenyataan di dalam bilik darjah (ii)   guru juga boleh meminta pendapat atau cadangan dengan berbincang dengan para pelajar  mengenaiperaturan yang mereka persetujui bersama untuk dilaksanakan        sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dan (iii)  guru meminta para pelajar menulis "kontrak peraturan" secara individu. 

Kontrak ini mengandungi peraturan-peraturan yang mereka sendiri nyatakan dan tindakan-tindakan disiplin yang akan diambil ke atas mereka sekiranya mereka melanggar mana-mana    peraturan yang dinyatakan tersebut. Kontrak ini akan disimpan oleh guru dan akan digunakan apabila pelajar melakukan kesalahan disiplin. Atau minta pelajar lekatkan  dipapan kenyataan di dalam bilik darjah seperti rajah di bawah.



Seterusnya cuba hayati video pengajaran guru di bawah dan beri komen anda terhadap pengajaran guru terssebut.


















Wednesday, 1 June 2011

Pengajaran Berkesan -01

Assalamualaikum kepada semua pembaca yang melayari tulisan ini.

Segala pujian dikhususkan hanya kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, sama ada nikmat-nikmat yang diketahui atau pun nikmat yang tidak diketahui. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia dan sahabat-sahabatnya.

Sebagai pendidik guru , saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman & pengetahuan tentang dunia pengajaran seorang pendidik. Sebagai permulaan kepada perbincangan "pengajaran berkesan" ini, saya ingin membawa para pembaca kepada "Seteguk Harapan" cebisan harapan para pelajar yang saban hari datang dan pergi demi menuntut ilmudan harapan para ibu bapa terhadap kejayaan anak-anaknya. Hayatilah "Seteguk Harapan" ini sebagai menginsafi apakah selama ini kita para pendidik tercinta telah benar-benar melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai seorang penyampai ilmu, pendidik dan pembimbing kepada para pelajar yang dahagakan ilmu.



Wahai para pendidik tercinta, sinarilah mereka, sahutilah cabaran, penuhilah seteguk harapan agar generasi kini menepati pemimpin esok. Ketahuilah bahawa Iman Al-Ghazali telah menyenaraikan lima ciri yang perlu ada pada seseorang pendidik iaitu mua`alim, mu`addib, murabbi, mursyid dan mudarris. 

 Mua`alim - pengajar/pendidik yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mua`alim lebih menumpukan kepada menyampaikan ilmu akal.

Murabbi - mengajar ilmu dan pada masa yang sama cuba mendidik rohani, fizikal dan
mental anak didiknya supaya mengahayati dan mengamalkan ilmu yang  dipelajari. Disamping membentuk sikap, tabiat dan keperibadian  anak muridnya.

Mu`addib - seorang mu`addib adalah pemupuk adab, nilai, sikap atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid  bagi membentuk sahsiah. Mu`addib bukan sahaja  mengajar pembentukkan nilai-nilai murni tetapi beliau juga mesti mengamalkan nilai-nilai murni. Mu`addib mempunyai budi pekerti yang tinggi  membina kecergasan mental dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitikberatkan pembentukan potensi insan yang seimbang dan menyeluruh.


Mursyid -  seorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutama dalam bidang  kerohanian. Mereka bertanggungjawab membimbing dan memimpin perjalanan rohani pelajar untuk sampai kepada Allah swt dalam proses tarbiah yang teratur.

Mudarris - guru yang mengajar dan menyampaikan maklumat kepada orang lain. Membantu  para pelajar dalam hal-hal yang mereka tidak faham. Berperanan           memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran pelajar.

Semuga sedikit  perkongsian maklumat ini dapat mengingatkan diri saya dan juga pembaca kepada peranan pendidik dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Sekian, Jumpa lagi ...
Umrah Slideshow: Rusyati’s trip from Kedah, Malaysia to Mecca, Saudi Arabia was created by TripAdvisor. See another Mecca slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Mengerjakan Haji Slideshow: Rusyati’s trip from Kedah, Malaysia to Mecca, Saudi Arabia was created by TripAdvisor. See another Mecca slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.