Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Friday 12 October 2012

“Myface” DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Assalamualaikum, wahai pembaca sekalian. Berikut ingin saya kongsi sedikit ilmu yang Allah SWT telah ilhamkan kepada saya. kaedah pengajaran yang menarik untuk kita laksanakan dalam pengajaran kita.

                                                        REFLEKSI P&P YANG LALU 
 Isu yang menjadi keutamaan saya ialah menghasilkan satu sesi pengajaran yang dapat menarik tumpuan dan minat pelajar. Guru merupakan elemen yang sangat penting dalam bilik darjah bagi mewujudkan sesi P&P yang berkesan. Saya tahu bahawa jika guru dapat menghasilkan pengajaran yang menarik dan menyeronok maka pembelajaran akan lebih bermakna. Keupayaan pelajar dapat dioptimumkan. Natijahnya objektif P&P akan tercapai. Sebaliknya saya dapati amalan pengajaran saya tidak dapat menarik perhatian dan tumpuan murid sehingga ke akhir sesi P&P. Ada dalam kalangan para pelajar yang bercakap-cakap sesama sendiri, tertidur, membuat kerja sendiri, membelek nota-nota dan lain-lain tingkahlaku disruptif walaupun saya menggunakan teknologi maklumat sebagai medium penyampaian P&P. Elemen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang paling kerap saya guna ialah persembahan powerpoint. Saya masukkan maklumat/data dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna tulisan, mempunyai latar belakang bercorak dan kadang-kadang saya selitkan gambar-gambar dan kartun yang saya ambil daripada internet. Bagi saya ia agak menarik!

Tetapi tidak bagi para pelajar saya. Saya dapati pada peringkat awal pengajaran, para pelajar memberi tumpuan dan perhatian terhadap pengajaran saya terutama bagi slaid yang mempunyai gambar dan kartun. Walau bagaimanapun keadaan berubah bila tiba pada pertengahan proses P&P, saya dapati sebilangan pelajar kelihatan mengantuk dan kurang memberi perhatian. Mereka menjadi cepat bosan dan hilang fokus apabila maklumat yang disampaikan berbentuk teks. Keadaan ini berterusan setiap kali saya menggunakan persembahan PP. Oleh itu saya perlu mengubah amalan pengajaran saya!

                                                                      APA INOVASI SAYA 
Saya ingin menambahbaik pengajaran saya dengan membaiki cara penyampaian ICT. Daripada pemerhatian, saya dapati para pelajar akan menjadi ceria dan ketawa apabila mereka melihat gambar-gambar kartun yang saya selitkan dalam sesetengah “slaid” PP. Oleh itu saya bercadang untuk menggunakan karikatur tetapi dalam bentuk komik. Saya akan menterjemahkan isi pelajaran yang akan diajar dalam bentuk skrip dailog yang sampaikan oleh karikatur atau kartun yang saya ambil daripada internet. Lebih menarik, saya akan menggantikan muka kartun dengan muka pelajar-pelajar. Maka inovasi P&P ini dikenali sebagai “Facelook” dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

                                                               BAGAIMANA IDEA TIMBUL
 Keputusan saya untuk menghasilkan persembahan PP dalam bentuk komik karikatur ini adalah ekoran daripada pengalaman yang perolehi semasa saya menghadiri Seminar Pedagogi Peringkat Kebangsaan di IPT Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu pada tahun 2006. Saya tertarik dengan satu pembentangan bertajuk “Komik Sejarah”. Pengajaran mata pelajaran Sejarah menggunakan komik. Penghasilan komik sejarah ini dibuat dengan menterjemahkan fakta dalam bentuk skrip, lakaran kartun, latar tempat dan proses mewarna mengikut situasi dalam kandungan mata pelajaran Sejarah. Saya dapati pengajaran dengan menggunakan komik dapat dikuasai dalam gaya pembelajaran yang santai dan ’relax’ dan suasana kelas menjadi ceria dan P&;P menjadi lebih kreatif, menghibur serta menyeronokkan. Mengikut Abdul Ghani Abdullah, Abd Rahman Abd Aziz dan Abdul Rashid Mohamed, (2007),
 ”Komik merupakan satu bahan yang mengandungi unsur humor. Humor dapat menyumbang kepada persekitaran pembelajaran seperti meningkatkan perhatian dan motivasi serta menggalakkan pelajar- pelajar supaya lebih kreatif dan terbuka kepada ide-ide baharu. Humor dapat membantu pelajar belajar menaakul, mendengar dan menghargai masyarakat."

                                                BAGAIMANA SAYA LAKSANAKAN
 Saya mula menghasilkan pengajaran dengan menggunakan Komik Karikatur Myface ini kepada kumpulan pelajar Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI) bagi tajuk ke-4 iaitu Perbezaan Individu, Kursus EDC2203- Psikologi Pendidikan. Langkah pertama ialah menterjemahkan konsep dan isi pelajaran dalam bentuk skrip-dialog untuk dimasukkan pada watak karikatur yang saya kumpulkan daripada internet, buku-buku, komik, akhbar dan majalah.(Contoh Gambar ).


 



 Langkah kedua ialah melakukan proses mengedit gambar karikatur dengan memasukkan wajah pelajar bagi menggantikan wajah karikatur. Gambar pelajar-pelajar saya ambil dalam bilik darjah semasa sesi P&P yang lepas. Sebenarnya teknik mengambil gambar pelajar semasa sesi P&P ini juga menjadi satu rangsangan dan motivasi kepada pelajar-pelajar supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan melibatkan diri dalam aktiviti P&P.

                                             Mengapa kartun berwajah pelajar menjadi pilihan saya?

Saya menggunakan wajah pelajar sebagai satu cara penglibatan pelajar secara tidak langsung dalam proses P&P. Pembelajaran yang diperolehi akan lebih bermakna dan berkesan sekiranya pelajar-pelajar sendiri yang terlibat secara aktif dalam proses P&P. Para pelajar yang wajahnya terdapat pada karikatur akan melibatkan diri dengan membaca dailog pada komik tersebut. Confucius ada mengatakan “ Saya dengar saya lupa, saya nampak saya ingat dan saya buat saya faham”. Dengan ini saya tidak perlu menyuruh pelajar terlibat dalam proses P&P, mereka akan terlibat secara spontan apabila karikatur wajah mereka timbul.

Walaupun para pelajar adalah kumpulan pelajar lepasan universiti tetapi saya dapati mereka sangat teruja dan seronok. Kelas dipenuhi dengan gelak ketawa setiap kali slaid ditayangkan. Kegembiraan terpancar hinggakan mereka dapat membaca dialog dengan intonasi seperti berlakon. Menurut Zeigler, J. B (1999) dalam Abdul Ghani Abdullah, Abd Rahman Abd Aziz dan Abdul Rashid Mohamed, (2007), ”penggunaan humor menjadikan proses P&P menyeronokkan kerana humor mempengaruhi ingatan dan kecerdasan emosi”.

 Saya juga mendapati para pelajar dapat memahami konsep dengan tepat dan cepat. Kajian tentang bagaimana cara otak memproses maklumat dan peranaan emosi, perasaan dan tahap sedar ataupun separuh sedar semasa berlakunya proses P&P telah membuktikan bahawa apabila seseorang menghasilkan perasaan atau emosi yang sensitif kepada dirinya, akan menyebabkan berlakunya peningkatan oksigen dalam otak. Justeru itu, guru yang dapat mencetuskan suasana ceria, gembira dalam kalangan pelajar akan menghasilkan pemahaman dalam minda pelajar secara tidak sedar. Justeru maklumat yang mempunyai impak bermakna cepat disimpan dalam memori.

Bagi menguji kefahaman pelajar terhadap isi pelajaran , saya selang seli dengan menyoal isi pelajaran dan meminta mereka menghuraikan konsep-konsep dengan memberi contoh-contoh yang bersesuaian. Saya dapati para pelajar dapat menjawab dengan tepat. Saya dapati penggunaan komik karikatur Myface ini dapat menarik perhatian pelajar di mana sepanjang P&P keseluruhan pelajar menumpukan sepenuh perhatian pada persembahan PP. 

No comments:

Umrah Slideshow: Rusyati’s trip from Kedah, Malaysia to Mecca, Saudi Arabia was created by TripAdvisor. See another Mecca slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Mengerjakan Haji Slideshow: Rusyati’s trip from Kedah, Malaysia to Mecca, Saudi Arabia was created by TripAdvisor. See another Mecca slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.